Karya Ibn Abdul Hakam

Empat manuskrip karya masih kekal, dan kesemua manuskrip tersebut dianggap sebagi kerja terbitan daripada sebuah naskhah asal yang berkemungkinan dibuat oleh penuntutnya.[3] Dua daripada manuskrip ini diberi judul Futuh misr (Bahasa Arab: فتح مصر‎, Penaklukan Mesir), satu berjudul Futuh misr wa akhbaraha (Bahasa Arab: فتح مصر و أخبارها‎, Penaklukan Mesir dan sedikit maklumat, yakni maklumat tentang negeri itu), dan satu diberi judul yang lebih lengkap iaitu Penaklukan Mesir dan Maghreb dan al-Andalus.[4]

Sebahagian besar karya ini berkaitan dengan pensejarahan legenda Mesir pra-Islam, penaklukan Mesir oleh orang Arab, petempatan Muslim awal dan para qadi pertama.

Karya Ibn Abdul Hakam merupakan sumber penting oleh sebab ia merupakan periwayatan Arab yang terawal tentang penaklukan negara-negara berkaitan oleh orang Islam. Walau bagaimanapun, ia ditulis lebih kurang 200 tahun selepas kejadian dan oleh sebab itu ia juag mencampuradukkan fakta dengan legenda yang direka kemudian, yakni selepas kejadian sebenar.[5]